KUCHING, 7 April : Setelah dua tahun ditangguhkan akibat pandemik COVID-19, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) kembali menganjurkan Anugerah Kecemerlangan 2022 dengan menambah kategori baharu iaitu perumahan mampu milik.
Pengerusi Penganjur Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2022, Dato Ir. Alex Ting berkata, kategori berkenaan bertujuan merealisasikan strategi jangka panjang Kerajaan Sarawak dengan memberi motivasi dan inspirasi kepada pemaju untuk terus mempamerkan kreativiti dan inovasi.
“Objektifnya adalah untuk merapatkan jurang pembangunan dan mengubah perumahan mampu milik kepada hartanah yang paling dicari dan pada masa sama membolehkan lebih ramai rakyat Sarawak memiliki kediaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2022, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, kategori berkenaan diwujudkan bersama-sama lapan lagi kategori yang lain merangkumi kategori kediaman dan komersial, tanah dan strata serta pelan induk.
Ahli-ahli SHEDA dan bukan ahli digalakkan untuk menyertai penganugerahan ini mengikut kategori masing-masing.
“Berdasarkan rekod terdahulu, penganjur menerima sehingga 10 hingga 12 penyertaan namun setelah dua tahun ditangguhkan, kami berharap lebih ramai lagi pemaju menghantar penyertaan dan butiran untuk merebut peluang ini,” ujarnya lagi.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 20 Mei 2022.
Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang SHEDA di www.sheda.org.my atau hubungi Sekretariat Negeri SHEDA, Michelle di talian 016-8972723 atau emel kepada michelle.comm@sheda.org.my. -TVS