KUCHING, 7 April : Hari Kesihatan Sedunia yang disambut pada 7 April setiap tahun merupakan seruan ke arah kesihatan global yang bertepatan dengan matlamat penubuhan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).,
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, ia turut memberi tumpuan berhubung kesejahteraan setiap individu bersama dengan kesejahteraan alam sekitar di seluruh dunia.
Katanya, tema sambutan pada tahun ini sesuai dengan keadaan dunia yang menghadapi pelbagai cabaran kesihatan.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kesihatan Sedunia kepada seluruh rakyat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
“Sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini bertemakan Bumi Kita, Kesihatan Kita sesuai dengan keadaan dunia masa kini yang menghadapi pelbagai cabaran kesihatan termasuk pandemik semasa, pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim serta pelbagai krisis kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, WHO telah menganggarkan kadar kematian yang sangat tinggi setiap tahun disebabkan krisis perubahan iklim dan keadaan persekitaran yang tercemar.
Sementara itu, Dr. Hazland Abang Hipni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut turut mengharapkan kesedaran daripada semua masyarakat tentang kelestarian alam sekitar.
“Saya menyeru supaya masyarakat untuk berganding bahu dalam melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan masyarakat dan generasi akan datang,” katanya. -TVS