WASHINGTON, 7 April : Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengenakan sekatan tambahan ke atas Rusia dengan menyasarkan institusi kewangan utama serta dua anak perempuan Presiden Rusia Vladimir Putin, lapor Xinhua.
Menurut laporan dikeluarkan Rumah Putih, AS akan mengenakan sekatan penuh ke atas institusi kewangan terbesar Rusia iaitu Sberbank dan bank swasta terbesar Alfa Bank, membekukan aset serta melarang rakyat Amerika menjalankan perniagaan dengan pihak berkaitan.
Presiden Joe Biden akan menandatangani perintah eksekutif melarang pelaburan baharu di Rusia oleh rakyat Amerika, bertujuan “memastikan daya saing global Rusia terus lemah”.
Rakyat Amerika juga tidak lagi dibenarkan menjalankan transaksi perniagaan dengan perusahaan besar milik Rusia.
Jabatan Perbendaharaan akan mengeluarkan senarai entiti berkenaan pada Khamis.
Sekatan penuh turut dikenakan ke atas dua anak perempuan Putin, isteri dan anak perempuan Menteri Luar Sergei Lavrov, Perdana Menterinya Mikhail Mishustin serta bekas presiden dan bekas perdana menteri Dmitry Medvedev, yang kini timbalan pengerusi Majlis Keselamatan Rusia.
Individu tersenarai akan disenarai hitam daripada sistem kewangan dan pentadbiran Biden serta pembekuan aset yang dimiliki di AS.
Jabatan Perbendaharaan pada Selasa menyekat Rusia daripada membuat pembayaran hutang dengan menggunakan dolar US menerusi institusi kewangan AS, mengakibatkan kerajaan Rusia sukar memenuhi kewajipan kewangannya.
Washington dan sekutunya masih membenarkan syarikat Barat beroperasi di Rusia dalam sektor berkaitan penyediaan makanan asas, perubatan dan penjagaan kesihatan serta perkhidmatan telekomunikasi bagi mengurangkan kesan negatif pada rakyat. – TVS