KUCHING, 6 April : Kerajaan Sarawak melantik tiga syarikat untuk bekerjasama bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan kecekapan semua sektor ekonomi negeri berpandukan transformasi digital.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri, Datuk Julaihi Narawi berkata, tiga syarikat yang diberi tanggungjawab berkenaan ialah Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS), SACOFA Sdn Bhd dan P.P Telecommunication Sdn Bhd (PPTEL).
Ujar beliau, ketiga – tiganya dipilih kerana sudah memiliki reputasi kukuh dalam bidang masing-masing selain turut komited untuk membantu memenuhi wawasan negeri.
“Kita boleh menjangkakan keberkesanan yang luar biasa dan hasil yang menarik di hadapan menerusi kerjasama ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan tiga syarikat berkenaan di sini hari ini.
Menurut Julaihi, bagi merealisasikan hasrat ini, Sarawak perlu menggandakan saiz ekonominya menjelang 2030 dengan purata pertumbuhan tahunan sebanyak lapan peratus.
” Ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 yang dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selain mahu mencapai matlamat transformasi ekonomi supaya setanding dengan ekonomi digital paling maju di dunia,”katanya.
Ke arah itu tegasnya, Sarawak perlu melonjakkan beberapa fasa pembangunan ekonomi.
Dalam pada itu, Julaihi turut berbangga dengan kemampuan syarikat-syarikat tempatan dalam usaha transformasi ekonomi yang dipamerkan.-TVS