SARIKEI , 3 April : Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi akan memastikan semua kemudahan asas yang diperlukan di tapak Taman Agro Pertanian Sungai Baji di sini akan dilengkapkan.
Menterinya, Datuk Julaihi Narawi berkata, ketika ini penelitian terhadap aspek penting di tapak berkenaan sedang dilakukan.
Katanya, selain jalan raya dan sistem komunikasi, tapak yang berkeluasan 127 hektar itu juga memerlukan bekalan air dan elektrik yang mencukupi.
“Saya telah memberi arahan supaya semua keperluan ini diluluskan untuk membolehkan perancangan projek ini dapat dilaksanakan,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak berkenaan bersama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri, Datu Len Talif Salleh di sini semalam.
Mengulas mengenai potensi tapak berkenaan, Julaihi berkata, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu bakal menjadi platform penting kepada petani tempatan untuk meneroka kaedah pertanian moden.
“Ini sekaligus memperkasakan keupayaan mereka untuk menembusi pasaran global,”katanya.
Berhubung isu lain, beliau berkata, aspek kewangan tidak menjadi masalah kerana mempunyai peruntukan mencukupi namun perlu memberi perhatian kepada isu teknikal termasuklah perkhidmatan telco yang sudah dikenal pasti di bandar ini.
“Kita mahu laksanakan secara bersungguh – sungguh bagi mencapai matlamat Kerajaan Sarawak menjadikan negeri ini sebagai pengeluar dan pengeksport makanan utama negara menjelang 2030,”katanya. -TVS