SIBU, 2 April : Mayat mekanik yang terjatuh ke dalam Sungai Batang Rajang, dekat sini pada Khamis lepas ditemui pagi tadi.
Mayat Lim Wee Sin, 49, ditemui terapung pukul 9.20 pagi tadi kira-kira tiga meter dari lokasi dia terjatuh iaitu berhampiran dermaga kapal di Jalan Lanang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Dr. Collin Babat berkata, operasi mencari mangsa dilakukan sejak hari kejadian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin.
“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat,”katanya di sini hari ini.
Sebelum itu, pengesahan identiti si mati disahkan oleh isterinya, Huang Ing Kiong,48, yang turut berada di lokasi.
Susulan penemuan itu, operasi mencari ditamatkan pada pukul 9.20 pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4.16 petang itu, Wee Sin dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika mangsa cuba melompat dari kapal ke dermaga.
Kejadian yang disaksikan oleh seorang rakannya itu turut dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat berkenaan.
Menurut Collin, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – TVS