GEORGETOWN, 2 April : Kilang memproses produk berasaskan kacang soya dan kilang memproses mee dan kuetiau telah diarah tutup selama dua minggu kerana kotor dan menjijikkan, termasuklah terdapatnya najis tikus di ruang pemprosesan makanan dan stor.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata menerusi serbuan Ops Tegar Siri 2 itu, pihaknya mendapati tahap kebersihan kedua-dua premis tersebut tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.
Katanya, kilang-kilang tersebut, yang terletak di Jalan Perak dan Batu Lanchang di sini, juga dikenakan masing-masing tiga kompaun bernilai hampir RM12,000.
“Malah, pihak kami juga telah memberi Notis Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa hari ini hingga 16 April ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.
Mohd Wazir berkata dalam pemeriksaan di kilang memproses produk berasaskan kacang soya di Batu Lanchang, pihaknya menemui najis tikus, bekas penutup soya dipenuhi fungus dan lipas, malah premis yang beroperasi sejak 10 tahun lepas itu juga didapati meletakkan bekas berisi kacang soya di atas lantai tandas di kilang itu.
Malah lebih menjijikkan, katanya, apabila kawasan kilang yang menghasilkan produk seperti air kacang soya, tauhu dan taufufah untuk edaran di sekitar George Town itu, turut berbau hancing dipercayai berpunca daripada air kencing tikus.
Menurutnya kilang tersebut pernah dikenakan kompaun dan diarahkan tutup selama 14 hari atas kesalahan sama dua tahun lepas.
Sementara itu, beliau berkata kilang pembuatan mee dan kuetiau berkenaan didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan peralatan yang digunakan dipenuhi habuk dan lendir.
Mohd Wazir berkata pihaknya percaya peralatan tersebut tidak pernah dibasuh, selain keadaan lantai premis yang licin yang boleh mendatangkan bahaya. – TVS