SAMARAHAN, 1 April : Medan Timur Tentera Darat akan terus teguh dalam mempertahankan kedaulatan wilayah Sabah dan Sarawak berteraskan pemahaman terhadap aspek kedaulatan negara.
Panglimanya, Leftenan Jeneral Dato Mardzuki Muhammad berkata, sempena sambutan Hari Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat ke-8, seluruh warganya juga akan menjunjung tema Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin dalam melaksanakan tugas mereka.
Katanya, penghayatan itu penting dan menjadi jati diri kepada warga tentera di situ demi mempertahankan kedaulatan negara.
“Prinsip ini seiring dengan misi dan visi Tentera Darat Malaysia.
“Tiga prinsip asas tentang apa yang perlu dilaksanakan serta lima tonggak bagi pelaksanaan pelan-pelan tindakan bagi meningkatkan kelangsungan misi dan kesiagaan, memperkasakan keutuhan organisasi, melestarikan kesejahteraan warga, mengukuhkan hubungan pertahanan serta meningkatkan hubungan dengan awam, perlu terus dijadikan panduan oleh seluruh warga pemerintahan medan timur tentera darat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan berkenaan di Kem Muara Tuang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa dan Panglima Divisyen ke -5 Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.
Pada masa sama, beliau juga turut mengingatkan warga PMTTD untuk sentiasa mempraktikkan konsep kepimpinan selain menambah ilmu pengetahuan.
”Seluruh warga pemerintahan medan timur adalah diseru untukmengamalkan dan mempraktikkan kepimpinan ketenteraan dalam menjalankan tugas harian.
”Setiap individu adalah merupakan pemimpin di setiap jawatan masing-masing, oleh yang demikian, sebagai ketua, kita perlulah berfikir dengan lebih analitikal dan bertindak dengan praktikal dalam setiap perancangan dan pelaksanaan tugas,”katanya.-TVS