Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sarawak bincang pembukaan sempadan dengan Indonesia
Sarawak bincang pembukaan sempadan dengan Indonesia

Sarawak bincang pembukaan semula sempadan darat dengan Indonesia Isnin depan

KUCHING, 1 April : Sarawak akan mengadakan perbincangan dengan Konsulat Jeneral Indonesia di sini pada Isnin depan berhubung pembukaan semula sempadan darat negeri itu dengan republik tersebut.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata negeri itu akan membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) mereka pada mesyuarat tersebut.

Beliau berkata cadangan SOP itu perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak sebelum dimuktamad dan dilaksanakan.

“Kita akan bincang dengan Indonesia, kita ada dua kategori pengembara iaitu pertama pelancong dan kedua, individu yang sering berulang-alik dalam bentuk pengangkut yang membawa barang.

“Itu adalah hala tuju perbincangan kita dengan Indonesia, (kita juga ingin) membolehkan perdagangan di kawasan Tebedu dan Biawak (yang bersempadan dengan Indonesia) dimulakan. Terdapat banyak aktiviti perdagangan di situ sebelum ini (pra-COVID-19),” katanya.

Uggah berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada hari pertama pembukaan semula sempadan di sini hari ini.

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula mulai 1 April selaras dengan rancangan negara untuk memasuki tempoh peralihan kepada fasa endemik COVID-19.

Uggah berkata Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Tebedu telah dibuka semula mulai hari ini meskipun SOP dengan Indonesia belum dimuktamad.

Beliau juga berkata sempadan dengan Brunei akan kekal ditutup sebahagian dan dibuka semula pada 15 April. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan