SIBU, 1 April : Seorang mekanik kapal dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Batang Rajang di Jalan Lanang di sini, petang semalam.
Difahamkan, mangsa, Lim Wee Sin, 49, ketika itu cuba melompat dari kapal ke dermaga dalam kejadian kira – kira pukul 4.16 petang semalam yang turut disaksikan oleh rakan sekerjanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral,Penolong Kanan Penguasa Bomba, Suna Kaha berkata, saksi memberitahu Wee Sin cuba mengapungkan diri selepas terjatuh.
“Seorang rakan sekerjanya juga berusaha untuk menyelamatkan mangsa namun gagal,”katanya ketika ditemui TVS semalam.
Suna berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu oleh Pasukan Polis Marin.
“Bagi memudahkan proses pencarian, kami telah meminta semua kapal yang berlabuh di dermaga supaya dialihkan kedudukan,”katanya.
Ujar beliau sehingga pukul 8 malam tadi, mangsa belum ditemui dan pencarian disambung semula pagi tadi. -TVS