KUCHING, 1 April : Perkembangan kes jangkitan COVID-19 di Sarawak menunjukkan lima daerah iaitu Kabong, Julau, Dalat, Tajung Manis dan Bukit Mabong merekodkan sifar kes baharu bagi tempoh 24 jam lepas.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, enam lagi daerah iaitu Lubok Antu, Lawas, Tatau, Song, Pakan, dan Beluru pula masing – masing merekodkan satu kes.
JPBN Sarawak turut mengesahkan empat kes kematian hari ini yang melibatkan dua lelaki dan dua perempuan dengan tiga daripada merupakan warga emas.
“Tiga kematian berlaku di Kuching dan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak manakala satu kematian berlaku di Bintulu,”jelas JPBN menerusi kenyataan media hari ini.
Sementara itu, sebanyak 648 kes baharu dilaporkan sekaligus menjadikan jumlah kes kumulatif sejak negeri ini dilanda pandemik meningkat kepada 298,989 kes.
Jumlah kes mengikut kategori satu dan dua adalah sebanyak 639 manakala hanya sembilan kes pada kategori tiga, empat dan lima. -TVS