KUCHING, 31 Mac : Pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM150 juta pada tahun ini untuk menggalakkan penternakan dan penanaman padi beras.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah berkenaan bagi memastikan kerajaan dan agensi berkaitan pengeluarkan makanan di Sarawak dapat bertahan dan seterusnya menjamin aspek keselamatan makanan.
Katanya, pada masa sama, kerajaan mahu melihat sektor agro makanan di Sarawak turut dimodenkan menerusi penggunaan teknologi baharu sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.
“Ini seterusnya meningkatkan produktiviti dan kita dapat menguruskan sektor agro makanan dengan lebih efisyen yang mana ia juga menjadi aspirasi bersama MAFI dengan Kerajaan Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjung hormat bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, daripada jumlah peruntukan berkenaan, sebanyak RM53.8 juta disalurkan untuk melaksanakan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Subsidi Insentif Padi (SIPP), Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dan Skim Baja Dan Racun Padi Bukit / Huma (SBRPB). -TVS