KUCHING, 30 Mac : Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Masir Kujat bersedia untuk berunding sekiranya ada parti yang ‘berminat’ untuk meletakkan beliau sebagai calon di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Masir berkata, beliau menyedari ‘perjuangan’ untuk bertanding semula sebagai calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak mudah kerana mendapat tentangan pemimpin politik tempatan di kawasan itu.
“Sebenarnya saya belum ada keputusan sama ada akan bertanding (pada PRU-15) atau tidak.
“Kalau keputusan sendiri, memang saya tidak akan bertanding namun jika ada parti yang mahukan saya sebagai calon, saya akan berunding,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Masir yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri hari ini membuat ‘kejutan’ apabila mengumumkan keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang disertainya pada 2019 berkuat kuasa serta merta.
Beliau menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ‘mengetuai’ pentadbiran Putrajaya atas ‘tiket’ Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Masir berkata, keputusan mengucapkan selamat tinggal kepada PSB dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan penyokongnya di peringkat akar umbi.
Pada PRU-14, Masir yang bertanding di situ atas tiket PRS menang dengan majoriti 5,820 undi.
PRS bersama tiga parti tempatan di Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) kini membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memiliki 18 kerusi Parlimen dan merupakan sebahagian daripada Kerajaan PN.
Mengulas lanjut, Masir berkata, beliau juga tidak pasti sama ada PRS akan membenarkannya menjadi calon atau tidak sekiranya kembali ke pangkuan bekas partinya itu. -TVS