Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI

Program Jualan Keluarga Malaysia dilanjutkan sehingga Jun – Alexander Nanta

PUTRAJAYA, 30 Mac : Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac akan diteruskan hingga Jun ini berikutan sambutan orang ramai, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melanjutkan PJKM itu berikutan maklum balas orang ramai yang rata-rata meminta PJKM diteruskan.

“Formatnya akan disesuaikan mengikut lokasi, bilangan penduduk dan keberadaan serta keupayaan rakan strategik di sesebuah lokasi,” kata Nanta dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri melancarkan PJKM pada 2 Dis tahun lepas bagi memberi peluang kepada rakyat di negara ini mendapatkan barang keperluan harian pada harga lebih rendah.

Barang-barang keperluan rumah seperti ayam, makanan laut, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung dan beras yang ditawarkan di PJKM adalah sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.

Nanta berkata PJKM telah diadakan di semua 222 kawasan Parlimen dan dihadiri 2.02 juta pengunjung serta mencatatkan jualan kira-kira RM38.09 juta.

Beliau berkata program itu mendapat sokongan daripada 202 rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kewangan serta pemain industri sektor peruncitan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan