BINTULU, 30 Mac : Seorang pemandu van yang dirawat di Hospital Bintulu selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Hussein Onn disahkan meninggal dunia petang semalam.
Mangsa, Wickyandi Wahid, 26, berasal dari Pontianak, Indonesia menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.40 petang manakala penumpang kini masih dirawat di zon kuning.
Ketua Bahagian Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan pada pukul 3.47 petang semalam membabitkan van berkenaan dengan sebuah lori.
“Van yang dipandu mangsa dari arah Bandar Bintulu telah bertembung dengan lori itu yang ingin memasuki simpang berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sibiew.Â
“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang van tersepit dalam kenderaan mereka,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, kedua – dua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Katanya, siasatan kes berkenaan kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-TVS