KUCHING, 30 Mac : Anak kandung pemilik rumah yang musnah dalam kebakaran di Jalan Astana, petang semalam ditahan polis selepas disyaki menjadi punca kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan pada pukul 8 malam tadi.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, suspek pada mulanya dilihat sedang menghisap rokok sambil membakar longgokan sampah berdekatan rumahnya.
“Api kemudian marak dengan cepat sehingga menyambar dinding papan rumah itu.
“Suspek dikatakan hanya berdiam diri dan tidak cuba memadamkan api sehingga orang kampung tiba,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine namun tidak mempunyai rekod jenayah silam.
Dalam kejadian kira – kira pukul 7.29 malam itu, rumah dua tingkat jenis tidak kekal itu musnah 100 peratus akibat kebakaran itu namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan tiada kemalangan jiwa.
Mengulas lanjut, Ashmon berkata, suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah , Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan.-TVS