KUCHING, 29 Mac : Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkongsi ilmu tenunan songket kepada banduan di Kompleks Penjara Puncak Borneo di sini hari ini.
Baginda turut berkongsi ilmu tenunan songket dengan memberi cadangan bagi penghasilan corak baru bagi songket di Sarawak.
“Kadang-kadang kalau awak hendak buat corak yang baru, awak boleh tebalkan sikit warna biru serta selang-seli dengan warna merah,” titah baginda ketika berbual bersama dengan banduan di sini.
“Bila warna biru dan merah ditenun selang seli akan jadi kotak, songket akan jadi cantik,
“Tidak semestinya corak ikut orang Sarawak, tapi ikut corak kita,” titahnya lagi.
Hadir mengiringi lawatan ialah isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’Ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan, Datu Dr Sabariah Putit dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Dato Sri Fatimah Abdullah.
Turut mengiringi, Dato’ Haji Nordin bin Haji Muhamad, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia serta dif-dif jemputan yang lain.
Baginda kemudian meneruskan lawatan rasmi di Muzium Budaya Borneo di Kuching.
Raja Permaisuri Agong tiba untuk lawatan rasmi ke Sarawak bermula Isnin dan akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada Rabu, 30 Mac ini. – TVS