Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pouring food oil in hot pan for deep frying.

Malaysia bersedia bantu UK, Eropah dalam krisis bekalan minyak bijian

KUALA LUMPUR, 29 Mac : Malaysia bersedia untuk membantu United Kingdom (UK) dan Eropah dalam krisis bekalan minyak makan bijian yang dijangka berlaku, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata laporan oleh akhbar British baru-baru ini menunjukkan UK akan menghadapi krisis minyak masak dalam beberapa minggu berikutan bekalan minyak bijian mengalami kekangan akibat perang Rusia-Ukraine.

“Kita amat prihatin dengan situasi di UK dan Eropah susulan keadaan semasa antara Rusia dan Ukraine.

“Oleh itu, sekiranya UK dan negara Eropah lain memerlukan bantuan, kita bersedia membantu  dengan membekalkan minyak sawit boleh makan atau minyak masak untuk keperluan domestik dan pembuatan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata kemampanan minyak sawit Malaysia adalah mematuhi sepenuhnya Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia, yang berdasarkan piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia dan menepati keperluan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan antarabangsa.

“Kita melihat ini sebagai keperluan kemanusiaan memandangkan Rusia dan Ukraine secara bersama membekalkan 70 peratus minyak masak bunga matahari kepada dunia,” katanya.

Zuraida berkata kementerian itu sentiasa menyedari wujudnya propaganda anti minyak sawit oleh beberapa negara Barat.

“Pada masa yang sama, kita tidak membiarkan propaganda yang diputar belitkan dan penyokong fahaman perlindungan yang mengelirukan itu, dan kita masih mahu menawarkan bantuan kita dalam tempoh mencabar ini,” katanya.

Beliau berkata Malaysia telah lama berjuang menentang propaganda anti minyak sawit barat, dan sudah tiba masanya untuk meredakan keadaan itu.

“Malaysia merupakan negara yang prihatin, mesra, dan atas sebab itu, kita lebih daripada bersedia untuk menyediakan minyak sawit Malaysia yang penuh dengan kebaikan kepada negara-negara yang terjejas ini,” katanya.

Beliau berkata Malaysia bersedia untuk menawarkan bantuan segera kerana tidak mahu melihat mana-mana negara mengalami krisis bekalan minyak masak sedangkan negara ini merupakan antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan