KUCHING, 27 Mac : Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.
Fadillah berkata, beliau percaya, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah merangka strategi untuk berdepan sebarang kemungkinan.
Katanya, secara tradisinya, parti akan mengadakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi GPS untuk membuat segala keputusan berkaitan.
“Saya tidak berada dalam jawatankuasa berkenaan namun saya tahu GPS sentiasa peka dengan perkembangan politik semasa di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan bantuan sempena Program Kembali Ke Sekolah 2022 di Kampung Semariang di sini hari ini.
Kepada soalan sama ada PRU-15 wajar diadakan dalam waktu terdekat, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, banyak faktor perlu diperhalusi sebelum keputusan membubarkan Parlimen diambil.
“Secara peribadi, saya berpandangan bahawa Kerajaan Persekutuan harus memberi fokus kepada proses pemulihan negara terlebih dahulu.
“Ini kerana kita sedang berdepan cabaran kesihatan sama ada COVID-19 selain keadaan di hospital yang perlu ditambah baik, program vaksinasi, ubat-ubatan dan sebagainya,”katanya.
Namun demikian, Fadillah berkata, sekiranya PRU-15 akan tetap diadakan dalam terdekat, kesemua parti politik yang bernaung di bawah panji GPS bersedia sepenuhnya.
Sementara itu, Fadillah turut menyatakan kesediaan pihaknya untuk memberikan bantuan pendidikan seperti kelas tambahan kepada pelajar di kawasan Parlimen Petra Jaya.
“Cari guru dan kita akan adakan kelas tambahan di surau, dewan masyarakat dan sebagainya supaya dapat membantu meningkatkan pencapaian akademik anak-anak kita,” katanya. -TVS