BINTULU, 26 Mac: Menyedari negeri ini memerlukan sumber manusia berkemahiran teknikal, Kerajaan Sarawak mengambil langkah memberi latihan diperlukan sebelum kumpulan berkenaan memasuki sektor pekerjaan.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, latihan teknikal dan kemahiran berkenaan ditawarkan di beberapa pusat latihan yang dibangunkan oleh kerajaan negeri.
“Kerajaan sekarang sedang rancak melatih mereka dari segi Pendidikan Teknikal, Vokasional dan Latihan (TVET) termasuklah di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Perkeso dan Sarawak Petchem Sdn. Bhd. di Dewan Suarah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Stephen Rundi berkata, langkah berkenaan dilakukan bagi memastikan pekerja mahir yang diperlukan oleh industri dapat dihasilkan.
“Seterusnya mereka (pekerja terlatih) ini mampu menyesuaikan diri dan melaksanakan bidang tugasan masing – masing,” katanya.
Berhubung peluang kepada pencari kerja pula, Stephen Rundi berkata, majikan perlu memberi peluang kepada calon yang menunjukkan kesungguhan dan minat mendalam terhadap pekerjaan yang dipohon.
“Pada pendapat saya, mereka harus diberi peluang tanpa mengira sama ada mempunyai pengetahuan teknikal, kemahiran dan sebagainya.
“Kepada pencari kerja pula, jangan bersikap terlalu memilih, sebaliknya rebut peluang yang terhidang,”katanya. -TVS