KANOWIT, 26 Mac : Kemahiran mengendalikan alat pemadam api oleh salah seorang penghuni Rumah Panjang Awi di Sungai Maong, berjaya menyelamatkan kediaman itu daripada mengalami kemusnahan yang lebih besar dalam kebakaran petang semalam.
Sejurus mendengar teriakan seorang penghuni yang memberitahu sebuah bilik terbakar, Sempurai Anak Bila, segera bertindak panas menggunakan peralatan berkenaan untuk memadam api yang sedang membakar beberapa peralatan elektrik.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Empat Sibu, Penguasa Kanan Bomba 1, Janggan Muling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.39 petang.

“Setibanya di lokasi, bomba mendapati kebakaran di rumah panjang yang mempunyai 23 pintu itu telah berjaya dipadamkan oleh seorang penghuni dengan menggunakan empat unit pemadam api,” katanya ketika dihubungi TVS semalam.
Ujar beliau, kebakaran itu hanya melibatkan kerosakan kecil iaitu satu kipas, televisyen dan sebuah almari pakaian.
Sementara itu, Janggan berkata, sekiranya terdapat penghuni rumah panjang atau masyarakat yang memerlukan bantuan bomba untuk mempelajari cara penggunaan alat pemadam api, mereka boleh menghubungi balai bomba terdekat. -TVS