SARIKEI, 26 Mac : Seorang lelaki maut selepas kereta pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Sarikei-Bintangor, dekat sini, pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Tiong Ping Chiong, 56, berasal dari Ulu Sungai Merah, Sibu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.49 pagi.
“Setibanya di lokasi, bomba mendapati kedua-dua kenderaan dalam posisi bertembung.
“Kedudukan lori menghala ke Bintangor manakala kereta dipandu mangsa pula pada arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mahmudin berkata, pasukan bomba terpaksa meminta bantuan lori awam dan jentera penarik untuk memisahkan kedua – dua kenderaan yang ‘melekat’ akibat kemalangan itu.
Katanya, pasukan penyelamat juga berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori.
“Setelah kedua-dua kenderaan berjaya dipisahkan, mangsa dapat dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,”katanya.
Sementara itu, pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan. -TVS