MUKAH, 26 Mac : Jika dahulu ada kalanya pelajar di kawasan Mukah terpaksa bersengkang mata hingga lewat malam untuk mendapatkan isyarat Internet lebih baik untuk menghantar tugasan sekolah berbentuk dokumen, kini mereka boleh berbuat demikian dengan lebih pantas dan lancar pada bila-bila masa.
Ia susulan perkhidmatan jalur lebar yang telah ditambah baik di Sarawak melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu (2020-2022) bagi menarik taraf jaringan telekomunikasi terutama di kawasan luar bandar.
Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Paoh, Sarikei, Masturah Masnu, 20, berkata dahulu beliau pernah menunggu hampir sejam untuk menghantar tugasan sekolah tetapi sekarang proses itu hanya mengambil masa dua minit.
“Dulu untuk muat naik dokumen bersaiz 4MB memakan masa 30 minit, kadang-kadang sejam. Sekarang selepas sudah dinaik taraf, saya tidak lagi lambat hantar tugasan sekolah, sekarang hanya mengambil masa satu hingga dua minit sahaja,” katanya kepada Bernama di rumahnya di sini baru-baru ini.
Di bawah JENDELA fasa satu (2020-2022), Sarawak mendapat peruntukan RM4.09 bilion daripada kerajaan Persekutuan bagi memperluas dan menambah baik perkhidmatan jalur lebar di kawasan termasuk luar bandar dan sebagai persediaan peralihan kepada teknologi 5G.
Pada masa sama, inisiatif kerajaan menawarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia iaitu pakej prabayar khusus bagi membantu golongan remaja dan pelajar memperoleh akses Internet untuk pembelajaran dalam talian dari rumah tanpa sebarang kekangan data, turut memberi sinar kepada pelajar menjalani kehidupan norma baharu yang banyak menjurus kepada digital.
Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada 14 Okt lepas dan ditawarkan hingga 15 April ini merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi membantu golongan remaja dan pelajar memperoleh akses Internet untuk pembelajaran dalam talian dari rumah tanpa sebarang kekangan data sekali gus meningkatkan produktiviti.
Ia adalah pakej prabayar baharu yang membolehkan pelajar memanfaatkan data 20 gigabait untuk tiga bulan dengan hanya RM30 (bayaran RM10 bagi tiga bulan) untuk aktiviti produktiviti setiap hari serta Internet asas tanpa had.
Mengimbau kembali peristiwa didenda guru kerana menghantar tugasan sekolah lambat, Masturah berkata beliau terpaksa berjaga malam walaupun telah menyiapkan tugasan lebih awal kerana isyarat jalur lebar yang lembab sehingga tidak dapat memuat naik dokumen tersebut.
“Dahulu saya merupakan orang terakhir menghantar tugasan sekolah kerana ketersambungan sangat lemah. Kadang-kadang terpaksa keluar dari rumah dan duduk di taman atau rumah kawan untuk mencari rangkaian isyarat.
“Sekarang dengan kualiti 4G di kawasan luar bandar dan Pakej Remaja (Pakej Remaja Keluarga Malaysia), saya boleh terus hantar tugasan tanpa tunggu esok dan lebih seronok hanya duduk dalam rumah sahaja.
“Penambahbaikan ini banyak membantu pelajar supaya tidak terlepas mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.
Bagi Annisa Hardy Ismandy, 20, Pakej Remaja Keluarga Malaysia banyak mengurangkan perbelanjaan ibu bapanya kerana sebelum ini perlu membayar RM35 sebulan dan perlu ditambah nilai jika data habis digunakan.
“Pakej ini memudahkan pembelajaran saya tanpa masalah. Dahulu saya kurang layari laman sosial kerana nak jimatkan data itu tetapi sekarang bukan sahaja dapat berbuat demikian tanpa risau malah dapat membuat panggilan video dengan ibu bapa jika saya tinggal di asrama sekolah,” katanya.
Nur Fitri Syuhada Julaihi, 20, pula berkata Pakej Remaja Keluarga Malaysia bukan sahaja memanfaatkan pelajar dalam aktiviti pembelajaran terutama ketika pandemik COVID-19 malah memberi peluang kepada golongan remaja menceburi perniagaan secara dalam talian.
“Selain memanfaatkan pakej ini untuk aktiviti PdPR, saya juga tidak melepaskan peluang menjual pakaian dan tudung di platform media sosial seperti WhatsApp dan Facebook bagi mendapatkan sedikit pendapatan untuk mengurangkan beban keluarga,” katanya.
Bagi Dinna Nirmala Najor, 15, perkhidmatan jalur lebar di kawasannya kini lebih pantas yang membolehkan beliau mencari maklumat tentang tugasan sekolah dengan tenang tanpa perlu terpaksa berjalan sekeliling rumah untuk mencari isyarat seperti dahulu.
“Ditambah dengan Pakej Remaja ini, ia memberi pengalaman yang lebih baik untuk melayari Internet tanpa gangguan kerana kelajuan itu amat bagus. Sekarang saya dapat membuat kajian dan menyelesaikan tugasan yang diberi guru kerana mendapat maklumat dengan pantas menerusi laman sosial.
“Dahulu saya hanya dapat membuat panggilan telefon dengan ibu bapa ketika tinggal di asrama tetapi sekarang saya dapat melihat wajah mereka di skrin telefon kerana kelajuan yang memuaskan itu,” kata pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sibu. –TVS