Kredit foto : UKAS
MUKAH, 26 Mac : Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM204,000 kepada seramai 136 penjaja kecil di Daerah Daro yang layak menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, pembayaran RM1,500 itu merangkumi dua kaedah iaitu secara tunai selain dikreditkan ke dalam akaun bank penerima.
Katanya, bantuan berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan negeri yang mahu meringankan beban ditanggung oleh penjaja yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Saya berharap mereka yang menerima sumbangan ini memanfaatkannya dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan berkenaan di Dewan Masyarakat Daro, di sini semalam.
Sementara itu , turut berlangsung taklimat prosedur sijil halal kepada kumpulan penjaja bagi memberi penerangan tentang kepentingan sijil itu untuk operasi perniagaan masing – masing.
Insiaitif di bawah Projek Zon Halal yang diperkenalkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) itu ujar Safiee sangat membantu peniaga di Daro untuk mendapatkan sijil halal melalui kaedah tertentu.
Program berkenaan dianjurkan di Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD). – TVS