Kredit gambar Muhd Hamdany Hamid
KUCHING, 25 Mac: Bermula sebagai pelumba simulator, Muhd Hamdany Hamid, anak kelahiran Kuching, Sarawak kini mengorak langkah apabila bergelar pelumba profesional di litar lumba terkemuka.
Biarpun masih baharu, namun anak muda berusia 18 tahun ini membuktikan dia mempunyai potensi besar setelah berjaya mendapat tempat ketiga kategori rookie dalam perlumbaan Toyota Gazoo yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.
Menurut Muhd Hamdany, permulaan meyakinkan dalam karier awalnya sebagai pelumba litar disumbang oleh sokongan padu yang diberikan oleh ibu dan bapanya.
“Mereka tidak risau apabila saya turun ke litar kerana tahu kereta yang digunakan dilengkapi dengan ciri keselamatan, begitu juga dengan aspek keselamatan di litar lumba,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Ditanya mengapa memilih sukan berkenaan yang diketahui ‘sangat berisiko’ untuk mengalami kecederaan, secara berterus-terang, pelumba yang mesra disapa Dany ini berkata, sejak kecil dia sangat berminat terhadap perkara berkaitan dengan kelajuan.
Sementara itu, berkongsi ‘rahsia’ bagaimana boleh terjebak dengan jenama perlumbaan Toyota, Dany berkata, segalanya bermula pada tahun lepas ketika dia menyertai perlumbaan GP E-Racing dalam semua kategori.
“Saya berjaya mendapatkan keputusan yang konsisten dan telah menarik perhatian bekas pelumba Formula One negara, Alex Yoong.
“Alex yang telah mencadangkan nama saya kepada Toyota bagi membolehkan saya menyertai pertandingan yang lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Dany turut menasihatkan rakan sebayanya supaya tidak mudah mengalah dalam mengejar impian masing-masing.
“Saya harap mereka dapat memanfaatkan peluang yang terhidang. Sentiasa yakin pada diri sendiri lebih-lebih jika kita tahu, kita ada bakat, jangan persiakannya,” katanya. – TVS