Kredit gambar: Zaim Zharfan
KUCHING, 24 Mac: Sekiranya anda sedang mencari tempat untuk belajar menunggang kuda yang tidak jauh dari pusat bandar, Cahaya Masa eQuine yang terletak di Kampung Selang Ulu, Telaga Air mungkin boleh memenuhi hasrat berkenaan.
Terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar, tempat ini ‘wujud’ sejak 2018 namun hanya mula ‘membuka pintu’ kepada orang ramai pada tahun lepas.
Pengasasnya, Dayang Norasikin Abang Talhata berkata, tujuan beliau membangunkan tempat riadah berkenaan ialah kerana mahu berkongsi minatnya terhadap sukan berkuda dengan rakyat di negeri ini.
Selain itu katanya, disebabkan tempat menunggang kuda masih kurang di Sarawak, dia mahu menjadi pencetus kepada perkembangan aktiviti berkenaan di sini.
“Sebenarnya ketika berada di Semenanjung, saya pernah ditanya sama ada wujud pusat rekreasi yang memfokuskan sukan daya tahan mental dan terapi di Sarawak.
“Ketika itu saya sedar sebenarnya masih belum meluas aktiviti ini di negeri kita, jadi saya mengorak langkah membangunkan Cahaya Masa eQuine,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.
Katanya, ketika ini terdapat lebih 10 ekor kuda di situ yang bersedia untuk ditunggang dengan kadar harga yang berpatutan.
Sementara itu, menyedari situasi terkini pandemik yang masih tidak menentu, Dayang Norasikin berkata, ketika ini pihaknya menerima slot tempahan secara dalam talian sejak Oktober 2021.
Bercerita lanjut tentang aktiviti yang ditawarkan di situ, dia memberitahu, selain belajar menunggang kuda, orang ramai juga berpeluang untuk mencuba sukan memanah yang turut ditawarkan mereka.
“Pembukaan tempat ini bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai di Sarawak untuk mencuba aktiviti berkenaan.
“Pada masa sama, saya juga mahu berkongsi kepuasan apabila menunggang kuda dengan orang ramai,” katanya.
Sesuatu yang menarik tentang aktiviti di sini ujar Dayang Norasikin, ia juga dapat memenuhi keperluan kanak-kanak autisme.
“Mereka boleh datang kerana kami menawarkan beberapa modul pembelajaran khas yang sesuai untuk dipelajari, yang pasti aktiviti menyeronokkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Selang Ulu, Zainal Abidin Samaudin berkata, aktiviti menunggang kuda dan memanah yang ditawarkan telah menjadi produk pelancongan di situ.
“Kata orang, satu kampung, satu produk dan jika ingin menunggang kuda, orang luar boleh datang ke sini.
Pemilik tempat ini turut menyediakan tenaga pengajar untuk memudahkan mereka yang berminat.
“Setahu saya, setakat ini hanya kampung kami sahaja yang menawarkan aktiviti ini,” katanya.
Cahaya Masa eQuine dibuka setiap Selasa hingga Ahad, dan untuk membuat temu janji, orang ramai boleh menghubungi nombor talian 014-3749308 dan 011-12012062. – TVS