CHINA, 24 Mac: Satu daripada dua kotak hitam pesawat milik China Eastern Airlines (CEA) yang terhempas pada Isnin lepas ditemui semalam, lapor Reuters.
Ketika ini usaha pencarian diteruskan oleh pasukan keselamatan untuk mengesan satu lagi kotak hitam yang masih hilang.
“Perakam penerbangan yang ditemui mengalami kerosakan teruk.
“Pada peringkat ini, pihak penguasa tidak pasti sama ada perakam data dan perakam suara kokpit itu masih boleh digunakan atau sebaliknya untuk proses siasatan,” jelas pegawai Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dalam sidang media.
Penerbangan dengan kod MU5735 itu sedang dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou sewaktu tragedi itu berlaku.
Pesawat keluaran Boeing 737-800 itu membawa 132 orang penumpang itu dipercayai menjunam secara tiba-tiba ketika berada pada altitud penerbangan kelajuan mendatar yang biasanya berlaku ketika pesawat bersedia untuk mendarat.
Sebahagian besar badan pesawat hancur selepas disahkan terhempas di kawasan pergunungan dan setakat ini, tiada mangsa yang terselamat.
Memasuki hari keempat nahas, pihak berkuasa masih belum pasti mengenai punca sebenar nahas malah turut tidak menolak kemungkinan proses siasatan akan menjadi sukar disebabkan kerosakan teruk yang dialami pesawat berkenaan. – TVS