MIRI, 24 Mac: Seorang wanita mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas ditampar seorang lelaki dalam kejadian buli jalan raya di Jalan Tudan, di sini malam tadi.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku pada pukul 10 malam apabila kereta yang dipandu suspek berusia 32 tahun itu telah melanggar kereta mangsa.
“Suspek yang tidak berpuas hati bertindak agresif apabila menampar muka mangsa yang berusia 50 tahun ini,” katanya.
Katanya, pukulan itu menyebabkan mangsa mengalami lebam pada bahagian muka dan membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.
Beliau memberitahu, suspek ditahan di perkarangan Balai Polis Trafik Daerah Miri kira-kira pukul 3.45 petang tadi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – TVS