KUALA LUMPUR, 24 Mac: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menggunakan bahasa Melayu secara rasmi untuk berucap dalam dua persidangan antarabangsa yang dijadual berlangsung hujung tahun ini, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata persidangan antarabangsa itu ialah Sidang Kemuncak ASEAN yang dijangka berlangsung November ini dan Sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu ketiga September.
“Kalau kita lihat pemimpin-pemimpin dari negara lain yang hadiri persidangan besar seperti itu turut menggunakan bahasa kebangsaan mereka, jadi kita tak perlu kekok.
“Minggu depan Perdana Menteri akan lakukan lawatan rasmi ke Qatar dan Emiriah Arab Bersatu dan di sana beliau akan guna bahasa Melayu,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Semalam, Ismail Sabri pada persidangan Dewan Negara berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.
Saifuddin berkata pihaknya menyokong penuh hasrat Perdana Menteri itu serta telah membuat persediaan khusus dan segera dari segi penguasaan bahasa Melayu dan penguasaan lima bahasa asing utama yang digunakan oleh PBB.
Beliau berkata langkah itu turut melibatkan antaranya untuk mewujudkan kembali elaun bahasa ketiga sebagai motivasi pegawai-pegawai kementeriannya untuk mempelajari bahasa asing.
“Pada suatu masa dahulu, ada elaun bahasa ketiga ini kami akan bincang dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagaimana nak wujudkan kembali elaun itu.
“Namun, kami merasakan ini bukan hanya untuk pegawai kami tetapi turut juga untuk pegawai dari kementerian lain yang bertugas di luar negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Wisma Putra akan mula menghantar surat rasmi ke negara luar menggunakan bahasa Melayu dan disertakan dengan terjemahan. – TVS