KUCHING, 24 Mac: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengesahkan ‘kemunculan’ dua kluster baharu jangkitan COVID-19 iaitu Kluster Jalan Bukit Mata dan Kluster Jalan Padungan Kuching.
Menerusi kenyataan media, JPBN Sarawak berkata, perkembangan itu sekaligus menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan baharu sebanyak 1,400 kes yang direkodkan bagi tempoh 24 jam lepas.
“Kluster ini dikesan apabila seorang lelaki tempatan telah positif ujian saringan pada 3 Mac lepas.
“Hasil saringan terhadap 30 individu lain, pihak berkuasa mendapati seramai 21 orang menunjukkan keputusan positif,” jelas JPBN.
Sementara itu, Kluster Jalan Padungan pula melibatkan pegawai dan kakitangan sebuah institusi kewangan swasta apabila hasil saringan terhadap 23 orang, keputusan menunjukkan 17 telah dijangkiti virus berkenaan.
Perkembangan pandemik di Sarawak juga telah menyaksikan dua korban terbaharu hari ini termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang mempunyai sejarah penyakit paru-paru kronik meninggal dunia di Miri pada 19 Mac lalu.
Satu lagi kematian berlaku pada 22 Mac lalu di Kuching yang melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun yang mempunyai sejarah penyakit jantung dan darah tinggi. – TVS