KUCHING, 24 Mac: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak merancang untuk mempunyai cawangan pejabat pentadbiran di setiap daerah di negeri ini.
Pengarahnya, Mohtar Samar berkata, sehubungan itu pihaknya perlu membuka lebih 20 cawangan pejabat baharu pada masa hadapan.
Ujar beliau, ketika ini APM Sarawak hanya mempunyai 21 pejabat pentadbiran di Sarawak.
“Setakat ini, ia masih di peringkat perancangan dan saya berharap dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Ulang Tahun APM ke-70 di Jalan Bako, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohtar berkata, rancangan pembukaan cawangan pejabat itu juga bergantung kepada keutamaan dan keperluannya di daerah yang kerap dilanda bencana.
“Sekiranya pasukan mempunyai cawangan pejabat di setiap daerah di Sarawak, ia akan lebih memudahkan urusan menggerakkan anggota sekiranya berlaku bencana,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu, APM masih memerlukan tambahan anggota seramai 1,200 orang bagi menjalankan operasinya di negeri ini.
“Oleh itu, golongan muda tempatan yang berminat untuk menyertai sangat dialu-alukan memohon,” katanya. – TVS