KUANTAN, 23 Mac: Bapa kepada kanak-kanak 11 tahun yang maut, dipercayai selepas disepak, dicekik dan dihempas oleh remaja berusia 16 tahun, reda dengan apa yang menimpa anaknya itu.
Qurbani Azhar Rahimi menganggap kematian anaknya merupakan satu ujian daripada Allah SWT.
“Saya tidak menyimpan sebarang dendam kepada pelajar senior itu, saya berharap kita sama berdoa untuk permudahkan urusan jenazah supaya anaknya ke syurga,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor, di sini semalam.
Azhar juga berkata anaknya itu tidak mempunyai masalah dengan rakan-rakannya dan anaknya juga seorang yang rajin, mendengar kata dan selalu menolong adik-adik di rumah.
“Kali terakhir saya melihat anak saya adalah pada Khamis lepas ketika menghantarnya ke asrama,” katanya lagi.
Mangsa dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh suspek berusia 16 tahun sehingga tidak sedarkan diri, ketika berada di bangunan surau asrama antara jam 3.45 hingga 4.15 petang pada Ahad lepas.
Difahamkan, mangsa diperlaku demikian kerana disyaki mengambil duit sebanyak RM4 dari suspek tersebut.
Susulan itu, pelajar tersebut telah ditahan reman sehingga 27 Mac bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor, Kuantan kira-kira jam 3.30 petang Selasa yang dihadiri keluarga terdekat dan pelajar daripada kompleks rumah anak yatim dan miskin. – TVS