MIRI, 23 Mac: Taktik seorang pengedar dadah mengisi bahan terlarang itu dalam paket minuman buah-buahan untuk mengaburi mata pihak berkuasa tidak berhasil apabila dia ditahan polis dalam satu serbuan malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan dalam sebuah bilik hotel di Jalan Sim Cheng Kay di sini pada pukul 8.30 malam tadi.
Katanya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu mencecah RM60,000.
“Hasil serbuan oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri mendapati dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 3,200 gram diisi ke dalam paket minuman berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini
Beliau memberitahu, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – TVS