KUCHING, 22 Mac: Pasukan Muay Thai Sarawak berjaya membawa pulang tiga pingat emas pada Kejohanan Muay Thai Elit Senior dan Junior Kebangsaan yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan baru – baru ini.
Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak, Jumaat Ibrahim berkata, selain itu atlet Sarawak turut meraih tiga pingat perak dan tiga pingat gangsa.
Katanya, pingat emas yang diraih ialah dalam kategori remaja menerusi kemenangan Muhammad Mikail Ghazali, Muhammad Hakim Abdullah dan Texas Jeremy Lo.
“Lebih manis Muhammad Mikail berjaya menumpaskan peserta tuan rumah dalam perlawanan akhir manakala Muhammad Hakim menewaskan wakil Kuala Lumpur bagi kategori remaja lelaki 11 -12 tahun,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Katanya, bagi kategori remaja lelaki (40-45 kilogram) , Sarawak menunjukkan dominasi apabila Texas menumbangkan rakan senegerinya, Muhammad Syamiel Saufi.
Sementara itu, Jumaat berkata , pasukannya tidak akan ‘berehat panjang’ untuk menikmati kejayaan yang dicapai di Pantai Timur itu sebaliknya akan menyambung latihan dalam masa terdekat untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.
“Berdasarkan pencapaian ini, persatuan yakin atlet kita akan mampu mencapai kejayaan di Sukma kelak,” katanya. – TVS