Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Lebih RM700,000 dadah pelbagai jenis dirampas, enam ditahan

JOHOR BAHRU, 22 Mac: Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan kejayaan menahan enam individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM700,000 dalam lima serbuan di Kulai dan bandar raya, Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata semua enam lelaki berumur 32 hingga 46 tahun itu ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor yang bermula pukul pukul 7 pagi sehingga 9.40 malam.

Beliau berkata dadah yang dirampas dalam serbuan itu terdiri daripada 10.31 kilogram (kg) heroin, 9.93 kg syabu, 107.07 kg ganja dan 422 gram magic mushroom dengan nilai keseluruhan dadah sekitar RM796,270.

“Selain itu polis turut merampas sepucuk pistol jenama Baretta bersama satu kelopak serta enam butir peluru, dan menyita enam kenderaan pelbagai jenis bernilai RM215,000, wang tunai bernilai RM13,400 serta mata wang asing pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bagi operasi ini lebih RM1 juta,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

“Modus operandi sindiket yang telah bergiat aktif sejak Mac tahun lepas itu adalah dengan mengubah suai kereta dan menyembunyikan dadah di tempat penyimpanan barang kereta,” katanya.

Kamarul Zaman berkata bekalan dadah yang dianggarkan boleh digunakan seramai 208,692 orang penagih itu diseludup dari negara jiran dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

Katanya hasil ujian saringan air kencing mendapati empat dari enam yang ditangkap adalah positif methamphetamine, dan tiga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata kesemua mereka direman sehingga 26 Mac ini, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan