DUNGUN, 22 Mac: Seorang kanak-kanak Tahun Satu terpaksa melupakan hasratnya untuk memulakan sesi persekolahan baharu, selepas cedera akibat diserang seekor kera di Kampung Baru Kuala Abang di sini, pada Ahad lepas.
Akibat serangan itu Muhammad Umar Ziyad Zaharudin, 7, terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman selepas mengalami kecederaan di bahagian betis kiri dan tangan kanan.
Ibunya Suzilawati Ismail, 39, berkata anak bongsunya daripada dua beradik itu jelas sangat terkilan apabila kini terlantar di hospital menerima rawatan, sedangkan pada mulanya dia nampak cukup riang dan teruja untuk hadir hari pertama di Sekolah Kebangsaan Kuala Abang.
“Doktor maklumkan anak saya mungkin tidak dapat berjalan dalam tempoh sebulan kerana kecederaan teruk di kakinya. Sepanjang tempoh itu, dia mungkin akan menjalani pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sahaja.
“Meskipun agak trauma dan sedih, namun saya bersyukur kerana Muhammad Umar Ziyad semakin pulih serta ceria hari ini, dan jika tiada sebarang halangan, dia akan dibenarkan pulang ke rumah pada petang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam kejadian pada 6.55 petang Ahad lepas, Suzilawati berkata beliau bersama dua anaknya berada di rumah kakaknya yang terletak bersebelahan di kampung berkenaan.
“Muhammad Umar Ziyad pulang dahulu ke rumah, saya dan anak sulung masih berada di beranda rumah kakak, tiba-tiba terdengar dia menjerit meminta tolong di halaman rumah saya.
“Nasib baik suami memang ada di rumah dan segera menyelamatkan dia. Kaki dan tangannya berlumuran darah dan koyakan pada kaki memang besar,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.
Suzilawati berkata disebabkan luka anaknya yang serius, dia terpaksa dihantar ke Hospital Kemaman untuk menjalani pembedahan kecil bagi mencantumkan semula kulitnya yang koyak. – TVS