KUCHING, 22 Mac: Bekas pemain bola sepak Sarawak FA, Azizan Baba dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.
Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menerusi kenyataan media mengesahkan kematian Azizan, 41, yang juga jurulatih pasukan bawah 14 tahun Melaka United.
“Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat bola sepak Melaka,” kata kenyataan media berkenaan.
Azizan pernah menyarung jersi Sarawak FA pada 2012 dan 2013 dengan membuat sebanyak 28 penampilan.
Allahyarham memiliki rekod enam gol sepanjang beraksi di Bumi Kenyalang.
Dilahirkan di Perak, Azizan memulakan karier bersama negeri kelahirannya sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, Melaka, Johor FC, Sarawak, Pulau Pinang dan kembali ke Melaka.
Selepas bersara sebagai pemain profesional, Azizan terjun ke dunia kejurulatihan dengan diberi peranan sebagai pembantu jurulatih pasukan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) selama dua tahun bermula pada 2019.
Sebelum ini, Azizan diserang penyakit berkaitan hamstring dan hematoma di paha kiri yang kemudian disahkan sebagai kanser.
Allahyarham juga dilaporkan pernah menjalani pembedahan beberapa kali di hospital. – TVS