KUCHING, 21 Mac : Pelancong yang ingin memasuki Sarawak tidak lagi perlu memohon melalui ‘EnterSarawak’ dan mengisi borang pengisytiharan kesihatan (EHDF) bermula pada 1 April ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini kerana pelawat hanya perlu mengisi borang praperlepasan di aplikasi MySejahtera.
“Pelancong juga tidak perlu memohon My Travel Pass,”katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Douglas Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS) berkata, semua individu yang akan memasuki negeri ini sama ada melalui pintu masuk udara, laut dan darat bakal diberikan salinan dokumen mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) ,Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
“Pasukan kita sedang melakukan persiapan di setiap lapangan terbang.
“Kita berharap sebaik sahaja sempadan dibuka, kerumitan di lapangan terbang dapat dikurangkan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga sedang berbincang dengan Brunei dan Indonesia mengenai prosedur kemasukan pelancong melalui laluan darat.
Pembukaan semula sempadan negeri katanya mempunyai sembilan kriteria dan butiran lanjut mengenainya akan dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, SOP untuk bazar Ramadan dan bazar Gawai akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“SOP untuk aktiviti dan program keagamaan pula akan dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR),” jelasnya. -TVS