BEIJING, 21 Mac : Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan China Eastern Airlines yang membawa 132 orang terdiri daripada penumpang dan anak kapal disahkan terhempas di kawasan pergunungan di selatan China, hari ini.
Menurut China’s Civil Aviation Administration of China (CAAC), pesawat berkenaan dalam penerbangan ke Kunming dari Guangzhou dan terputus hubungan dengan menara kawalan ketika berada berhampiran Wuzhou.
CAAC turut mengesahkan seramai 123 penumpang dan sembilan anak kapal berada dalam pesawat malang itu.
Media tempatan pada awalnya melaporkan pesawat itu membawa 133 orang dan ketika ini usaha mencari dan menyelamat telah diaktifkan.
Stesen penyiaran CCTV pula melaporkan, kejadian itu melibatkan pesawat keluaran Boeing 737-800 namun jumlah korban masih belum disahkan.
Menurut data FlightRadar24, pesawat itu berlepas dari Kunming pada pukul 1.11 petang waktu tempatan dan dijadualkan mendarat di Guangzhou pada pukul 3.05 minit petang.
Tidak lama selepas kejadian itu disahkan, syarikat penerbangan berkenaan kemudian menukarkan warna pada laman webnya kepada hitam dan putih sebagai tanda penghormatan kepada mangsa terlibat.
Sebelum ini, China merupakan antara negara yang memiliki rekod keselamatan industri penerbangan terbaik di dunia sejak beberapa tahun lepas. -TVS