SERDANG, 20 Mac : Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) Amyza Jamaluddin yang berasal dari Kampung Orang Asli Batu 55, Maran, Pahang berhasrat bertemu Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menyampaikan penghargaan atas bantuan kerajaan sehingga dia berjaya menggenggam segulung ijazah.
Amyza, 25, anak Orang Asli kaum Semaqberi itu, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera bagi Jurusan Kesusasteraan Melayu.
“Kalau diberi peluang, saya teringin berjumpa PM (Perdana Menteri). Satu sebabnya sama negeri (Pahang). Saya berasal dari Maran, PM pula dari Bera. Dan lagi satu sebab, saya nak ucapkan terima kasih kerana beri bantuan kepada masyarakat Orang Asli.
“Tapi ada dalam kalangan Orang Asli tidak tahu mengenai bantuan yang disediakan kerajaan kepada kami. Ada juga yang tidak tahu bagaimana untuk melanjutkan pelajaran. Jadi, saya nak berkongsi dengan PM mengenai perkara ini,” kata anak ketiga dari tujuh beradik itu.
Amyza yang bercita-cita menjadi guru itu berkata beliau amat bertuah, kerana kos pengajian selama tiga tahun setengah itu ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Katanya, beliau mendapat biasiswa sebanyak RM4,000 bagi setiap semester daripada JAKOA.
Beliau berkata berkat kesungguhan dan doa daripada kedua ibu bapanya, hasratnya untuk menjadi anak Orang Asli yang berpelajaran tinggi akhirnya tercapai.
“Mungkin ada persepsi Orang Asli tidak boleh berjaya, tapi saya kini menjadi antara masyarakat saya yang buktikan kami boleh berjaya, boleh belajar di universiti dan banggakan keluarga,” katanya.
Beliau berharap kejayaan menamatkan pengajian itu akan menjadi tiket kepadanya untuk mencurahkan ilmu dan menjadi warga pendidik suatu hari nanti.
Istiadat konvokesyen yang bermula semalam hingga 24 Mac itu, melibatkan seramai 6,142 graduan merangkumi 484 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,611), Sarjana Muda (3,564) dan Diploma (483). -TVS