SIBU, 20 Mac : Tindakan tangkas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap seekor ular tedung senduk yang masuk ke kawasan perkarangan rumah seorang penduduk di Jalan Ulu Oya, dekat sini, petang tadi.
Pegawai APM Daerah Sibu , Kapten Frankie John Jawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.15 petang.
Ketika anggotanya tiba, Frankie John memberitahu, ular tedung selar berwarna hitam itu sedang bersembunyi di dalam almari yang diletakkan di luar rumah.
“Pasukan berjaya menangkap reptilia sepanjang satu meter dan berat sekitar 500 gram itu dengan menggunakan penyepit khas,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya mengambil masa tiga minit untuk menangkap ular berbisa itu.
“Ular tedung itu kemudian dilepaskan di kawasan hutan yang jauh dari kawasan penempatan penduduk,” tambahnya.
Sementara itu, pengadu, Milky Bob memberitahu, ‘kehadiran’ ular tedung itu mula disedari apabila beberapa ekor anjing peliharaannya mula menyalak sejak tengah hari.
“Saya kemudian memeriksa kawasan di luar rumah terkejut apabila mendapati ular tedung itu sedang melingkar di bawah sebuah sangkar anjing dan kemudian menyusur masuk ke dalam almari,” katanya ketika dihubungi oleh TVS. -TVS