KUALA LUMPUR, 19 Mac: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui Markas Wilayah Udara 2 bersama agensi pasukan keselamatan awam di Sarawak akan melaksanakan ‘Search and Rescue Exercise Air Region 2 2022’ (SAREX AR 2 2022) di Kuching, Kota Samarahan dan Santubong bermula 21-25 Mac.
TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan SAREX AR 2 merupakan latihan yang julung kali diadakan melibatkan kerjasama antara agensi dengan objektif utama latihan untuk memperkasakan koordinasi antara agensi dalam melaksanakan misi mencari dan menyelamat (carilamat) di Wilayah Udara 2.
“Latihan ini juga bagi mengukuhkan pengoperasian ‘Military Rescue Sub Centre East’ (Mil-RSC East) sebagai agensi yang bertanggungjawab mengatur dan mengawal misi carilamat di Wilayah Udara 2 serta mengekalkan kompetensi dan kemahiran pegawai dan anggota yang terlibat dalam misi carilamat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan eksesais SAREX AR 2 akan dilaksanakan di fasa laut dan fasa darat melibatkan pengoperasian pesawat TUDM, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sarawak dan juga pesawat dari Hornbill Skyways yang akan melaksanakan penerbangan rendah.
Selain itu, pengoperasian juga melibatkan aset maritim dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, Sarawak Coast Guard dan Jabatan Perikanan di sekitar perairan Santubong di sepanjang latihan berlangsung.
“TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau jika melihat pesawat daripada pelbagai agensi melakukan penerbangan taktikal mahupun aset-aset maritim di dalam tempoh latihan dilaksanakan,” tambah kenyataan itu. – TVS