Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Penny, wanita tunggal jadi pengurus kilang ladang kelapa sawit di Sarawak

BAU, 19 Mac: Sejak kecil, Penny Nyapay sudah terbiasa mengikut ibu dan bapanya ke ladang kelapa sawit yang diusahakan.

Tanpa disedari, minat terhadap sektor perladangan bercambah dan dia menyimpan cita – cita untuk mengikut jejak langkah orang tuanya berbanding memilih karier lain.

Benar, wanita ini mahu kerja di ladang kerana ingin meneruskan legasi orang tuanya, agak berbeza dengan kebanyakan anak muda lain, yang ‘seboleh-bolehnya’ tidak mahu terjun ke sektor yang memerlukan memerah keringat serta berhujan panas.

Berkongsi kisahnya, Penny berkata, sejak usia lapan tahun, dia sering tertanya-tanya ke mana ‘pergi’ buah kelapa sawit yang ditanam di ladang milik keluarganya itu.

“Saya juga sering fikir apa yang akan dihasilkan dengan buah itu.

Sejak itu, saya mahu menjadikan pertanian sawit sebagai kerjaya,” katanya ketika ditemui TVS di Bau Oil Mill Sdn. Bhd. iaitu tempat kerjanya sejak beberapa bulan lepas.

Biarpun berminat dengan sektor berkenaan, Penny tetap meneruskan rutin pelajar sehingga berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2000.

Selepas itu, wanita ini tidak menoleh ke belakang lagi dan mengejar minatnya.

Kini, Penny merupakan pengurus di sebuah kilang memproses kelapa sawit dan dipercayai dia merupakan wanita tunggal di Sarawak yang memegang jawatan itu.

Ditanya mengapa ‘berdegil’ mahu bekerja di sektor perladangan kelapa sawit berbanding memilih bidang lain berdasarkan kelayakannya, Penny berkata, tidak ada yang ‘salah’ dengan kelapa sawit malah mempunyai potensi yang cukup besar.

Anak keempat daripada lima adik beradik itu berkata, kerjayanya mempunyai masa depan yang cerah kerana minyak kelapa sawit memiliki pelbagai keistimewaan.

“Kelapa sawit boleh diproses untuk digunakan dalam sektor makanan, perubatan dan juga kosmetik.

Saya berpendapat, masa depan dalam kerjaya ini sangat cerah,” katanya.

Menyentuh mengenai ‘tohmahan’ kononnya minyak kelapa sawit yang boleh memudaratkan kesihatan, Penny berkata, Malaysia mempunyai kepakaran dan saintis untuk melaksanakan kajian tentang manfaat minyak sawit.

“Negara kita juga mempunyai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang menyediakan sijil seperti Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO).

Oleh itu, jika bercakap soal kesihatan dan keselamatan penggunaan sawit, tidak jadi masalah kerana kita laksanakan kajian yang diiktiraf,” katanya.

Penny turut memberitahu, kilang tempat dia bekerja juga mempunyai sijil MSPO dan ISO 4000, iaitu berkaitan dengan kelestarian alam sekitar.

“Kilang ini juga patuh kepada undang – undang yang ditetapkan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan