BINTULU, 19 Mac: Sebuah pasar raya tiga tingkat musnah dalam kebakaran di Jalan Sebiew, dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba 1, Christus Buson berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.18 pagi.
Katanya, sepasukan 18 anggota Bomba digerakkan ke lokasi kejadian dengan menaiki dua buah kenderaan jenis FRT dan dua buah pacuan empat roda.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati api sedang marak di tingkat bawah dan tingkat satu premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Beliau memberitahu, operasi pemadaman turut dilakukan dengan menggunakan dua tangga untuk mengawal kebakaran di tingkat satu.
“Api dapat dikawal pada pukul 4.24 pagi namun hampir keseluruhan barangan dalam pasar raya itu musnah manakala kerosakan dianggarkan sekitar 80 peratus,”katanya.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi.
“Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Zon Lima, Bintulu,” katanya. – TVS