KUCHING, 18 Mac: Sarawak mampu mencapai kemajuan lebih besar bersandarkan persekitaran sosial merentasi kaum dan jantina yang dimilikinya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kelebihan yang dimiliki itu menyakinkan Sarawak untuk memacu pembangunan negeri.
Ujar Abang Johari, senario ini selari dengan ramalan pakar bahawa teknologi dan ilmu akan menjadi asas kemajuan pada masa hadapan dan kerajaan negeri telah menetapkan dasar sedemikian bagi memenuhi keperluan masa depan.
“Bagi mencapai kesaksamaan jantina, keseimbangan itu perlu. Keseimbangan berjaya dicapai apabila kedua-dua jantina berjaya menguasainya.
Lebih-lebih lagi dalam dunia ketika ini yang lebih cenderung ke arah digitalisasi. Kunci utamanya adalah ilmu pengetahuan. Itu yang membezakan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Wanita Dayak di sini hari ini.
Berhubung penglibatan golongan wanita Dayak dalam proses kemajuan negeri, Abang Johari memberi jaminan bahawa golongan itu akan terus diperkasa khususnya membabitkan aspek teknologi digital.
“Langkah ini sejajar dengan hasrat Sarawak untuk muncul sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.
Justeru Premier Sarawak itu mahu golongan wanita Dayak di Sarawak untuk mengambil bahagian dan menguasai bidang berkenaan dalam mencapai kemajuan. – TVS