MUKAH, 18 Mac: Setelah sekian lama dibelenggu dengan liputan internet lembab, penduduk sekitar Mukah terutama di kawasan luar bandar, kini sudah dapat berhubung dengan keluarga dan sanak-saudara dengan panggilan video.
Kenikmatan itu adalah hasil pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu (2020-2022) di Sarawak, yang melibatkan naik taraf menara komunikasi sedia ada ke teknologi 4G bagi menambah baik perkhidmatan jalur lebar dan sebagai persediaan peralihan kepada 5G.
Selain merapatkan jurang komunikasi antara bandar dan kawasan pedalaman, inisiatif itu juga adalah seiring dengan usaha kerajaan Sarawak, yang memacu dan memantapkan lagi penggunaan ekonomi digital untuk rakyat negeri berkenaan.
Tuai rumah panjang di Jalan Balingian-Matadeng Kumbong Anak Nyagang, 65, berkata perkhidmatan yang dinaik taraf itu, telah dapat mengubati rindunya kepada anak dan cucu yang tinggal di bandar lain seperti Bintulu dan Miri, demi mencari rezeki dan jarang dapat pulang kerana kos pengangkutan yang mahal.
“Sebelum ini perkhidmatan (telekomunikasi) di kawasan sekitar amat menguji kesabaran penduduk sebab hanya dapat membuat panggilan telefon, dan kadang-kadang pun kurang memuaskan sebab putus-putus,” katanya kepada Bernama.
Namun setelah menara komunikasi yang dahulunya menawarkan teknologi 3G dan kini ditambah baik kepada 4G, kawasan sekitar yang didiami kira-kira 1,000 penduduk kini dapat menikmati komunikasi dalam talian dan melayari internet, untuk mendapatkan berita terkini dan sahih serta hiburan menerusi aplikasi media sosial.
“Syukur bila ada perkhidmatan 4G. Tidak macam dulu hanya dapat buat panggilan telefon dan itupun kadang-kadang kena keluar ke jalan utama untuk mendapatkan isyarat,” katanya.
Menara telekomunikasi di Simpang Ulu Bayan siap pada 2020 dengan perkhidmatan 2G dan 3G disediakan ketika itu, namun di bawah inisiatif JENDELA fasa satu, menara itu dinaik taraf kepada 4G yang meliputi 11 rumah panjang.
Simpang Ulu Bayan adalah kawasan luar bandar yang terletak kira-kira 38 kilometer dari pekan Mukah.
Tuai rumah panjang Sungai Bedengan Ulu, Kalang Anak Mada@Madal, 64, juga berpuas hati dengan penambahbaikan dari segi infrastruktur dan kesinambungan yang dilakukan di kawasan luar bandar, kerana ia membolehkan perkhidmatan dalam talian untuk pelbagai jenis urusan dan pembayaran dilakukan.
“Kelajuan telefon dan internet di sini sebelum dinaik taraf amat lembab sampai kadang-kadang tiba-tiba isyarat hilang. Dulu untuk membuat urusan penting perlu berjalan keluar ke jalan besar dalam dua kilometer semata-mata untuk mencari isyarat.
“Tapi kini selepas menara dinaik taraf dengan menawarkan kelajuan 4G lebih senang membuat urusan dalam talian, mendapatkan berita semasa dalam dan luar negara dengan lancar tanpa sebarang sekatan, dan memudahkan anak-anak muda mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” katanya.
Seorang penduduk, Wilson Anak Bantin, 17, yang hanya pada tahun ini memiliki telefon bimbit berkata kesinambungan yang lebih baik memudahkannya untuk mengikuti pembelajaran dalam talian tanpa masalah serta berhubung dengan rakan-rakan yang berada di daerah lain.
“Ketika saya belajar di Tingkatan Tiga dahulu, seingat saya untuk mendapatkan talian itu sukar. Saya kena berjalan keluar dari rumah semata-mata untuk mencari isyarat.
“Tetapi sekarang dalam rumah pun saya dapat melayari internet dan menggunakan telefon tanpa sebarang halangan, terutama waktu COVID-19 yang banyak mengubah cara berkomunikasi,” katanya. – TVS