KUCHING, 17 Mac : Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Romania ke Malaysia, Nineta Barbulescu serta Duta Besar dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Michalis Rokas.
Menurut Nineta, sepanjang lawatannya ke Sarawak pada minggu ini, pelbagai aspek kerjasama membabitkan budaya, bahasa, penyelidikan bersama serta pertukaran staf dan pelajar bersama universiti terkemuka di Romania telah dibincangkan dengan kerajaan negeri.
Katanya usaha itu penting untuk memantapkan lagi keupayaan Sarawak yang dilihat mempunyai kemampuan membabitkan aspek ekonomi, kekayaan sumber dan budaya.
“Saya sangat berbesar hati berada di sini dan berharap tujuan lawatan ini dapat disampaikan dengan teliti untuk mencapai objektif kerjasama di antara Romania dan Sarawak,”katanya kepada pemberita selepas bertemu Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Astana Negeri Sarawak di sini hari ini.
Justeru, Nineta berharap hubungan dua hala ini dapat diperkukuhkan dengan kerjasama yang mampu menyumbang kepada kemakmuran bersama.
Turut menyambut kedatangan delegasi berkenaan ialah Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) , Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. -TVS