Separa Maraton pertama sejak 2019, demo seni pertahanan dairi, aerobik dan lain-lain
KUCHING, 17 Mac: Hock Seng Lee (HSL) akan mengadakan ‘Hujung Minggu Kecergasan La Promenade – Menjalani Gaya Hidup X-tive Sihat’ pada 7-8 Mei, termasuk Separa Maraton pertama di Sarawak sejak 2019.
Larian itu, yang akan diadakan pada Hari Ibu, termasuk ‘Family Walk’ sejauh tiga kilometer, larian sejauh 5 kilometer, dan perlumbaan dalam kategori 10 kilometer dan kategori 21.1 kilometer dengan hadiah-hadian bernilai hampir RM10,000.
Pendaftaran awal menikmati diskaun dengan bayaran serendah RM30 (3 km/5 km), RM40 (10 km) dan RM60 (21.1 km). Pendaftaran korporat adalah jauh lebih murah dengan bayaran RM140 hingga RM290 bagi sekumpulan lima anggota.
“HSL memberi biaya untuk membolehkan lebih ramai orang menyertai acara hebat ini pada Hari Ibu. Kita mengharapkan acara yang berjaya, dan kita berhasrat untuk menjadikan Hujung Minggu Kecergasan satu acara tahunan utama bagi La Promenade Mall, seperti Kejuaraan Bonsai dan Suiseki baru-baru ini,” kata pengurus pemasaran digital Sophia Ong.
Larian itu akan bermula dan tamat di La Promenade, iaitu pembangunan hartanah utama HSL yang paling terkenal kerana landskapnya.
Acara ‘Family Walk’ akan diadakan di dalam La Promenade, termasuk di sepanjang lebuh yang dihiasi pokok sejauh 1.8 km di dalam bahagian perumahan berpagar.
Acara lima dan 10 kilometer pula meliputi beberapa bahagian Lebuh Raya Kuching-Samarahan.
Laluan Separa Maraton akan membawa para pelari daripada pusat beli-belah itu ke Tanjong Bako yang indah, dan balik menerusi komuniti berpagar La Promenade.
“Ia adalah laluan yang pantas dan rata. Laluan itu dijangka akan menyaksikan pertandingan yang hebat dan catatan masa peribadi terbaik para peserta,” kata Ong.
Hujung Minggu Kecergasan dianjurkan dalam kolaborasi dengan Grit Event Management, Sweat Factory, Studio 23, Rentap Muay Thai, City Jogger’s Club dan Kerajaan Sarawak.
“Kami gembira menjadi sebahagian daripada inisiative X-tive Sarawak untuk mencapai wawasan ‘Sukan Bagi Semua Menjelang 2030’. Pembabitan X-tive di La Promenade akan menggalakkan gaya hidup sihat, terutamanya di daerah Samarahan. Ini juga bermakna kami akan mengguna-pakai standard yang jauh lebih tinggi untuk memastikan keselamatan bagi jumlah peserta yang besar,” tambah Ong.
X-tive akan memaparkan kelas-kelas yoga dan Zumba, demo Muay Thai oleh Rentap Muay Thai, dan demo Jiu-Jitsu dari Brazil oleh Studio 23 pada Sabtu dan Ahad. Penyertaan bagi semua acara X-tive adalah percuma.
“X-tive merupakan sebuah program hebat yang dibiayai Kerajaan Sarawak pada waktu masyarakat menyesuaikan diri semula dengan keadaan normal,” kata pengasas Grit Event Management, Awang Saifeluddin.
“Kempen kesihatan seluruh Sarawak menyasarkan kesejahteraan fizikal dan mental. Satu sebab kenapa La Promenade dipilih ialah kerana landskapnya. Seperti yang semua kita ketahui, persekitaran yang bagus memainkan peranan dalam kehidupan yang sihat.”
The Sweat Factory, sebuah pusat kecergasan di La Promenade Mall, akan menganjurkan ‘The Sweat Challenge’.
“Kami benar-benar teruja menjadi sebahagian daripada Hujung Minggu Kecergasan La Promenade. Kami menganjurkan dua pertandingan: satu untuk orang ramai, satu lagi pertandingan jemputan bagi golongan profesional dari seluruh Malaysia. Pada peringkat awal ini pun sambutan ternyata hebat!” kata Richard Yu dari Sweat Factory.
“Sebanyak 24 pasukan sudah mengesahkan penyertaan, enam dari Kuching, empat dari Sabah, lima dari KL, tiga dari Miri, dan dua pasukan masing-masing dari Pulau Pinang dan Bintulu,” tambah pengajar, Chai Kian Yew.
La Promenade Mall dan Menara HSL yang bersebelahan mempunyai pensijilan Indeks Bangunan Hijau.
Kedua-duanya merupakan kemudahan binaan swasta pertama di Sarawak yang diiktiraf sebagai hijau, dengan memastikan penjimatan tenaga sebanyak 25 peratus.
Pada 2018, bandar seluas 200 ekar itu memenangi Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia yang berprestij pada Bulan Seni Bina Landskap Sedunia di Kuala Lumpur, di mana hakim-hakim menyifatkan La Promenade sebagai “sebuah bandar di dalam sebuah taman”.
Komuniti itu mempunyai 1,800 pokok pain Norfolk, lebih 25,000 pohon daun teh, Tecomas (lebih dikenali sebagai pokok tropika Sakura), Hopeas dan Bonsai gergasi.
Untuk maklumat lanjut, layarilah lapromenademall.com.my dan hsl.com.my, atau cari #PromenadeFitness dan @lapromenademall dalam media sosial. – TVS