BATU NIAH, 17 Mac : Mayat wanita yang disambar buaya ketika sedang memancing di Sungai Telong Suai, dekat sini, tengah hari semalam ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila tangan kiri mangsa hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Pegawai Kanan Bomba , Rary Binjie berkata, mayat Demit Chagai, 43, dijumpai pada pukul 1.30 petang tadi oleh sekumpulan penduduk kampung yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, mayat dijumpai kira – kira 300 meter dari lokasi mangsa diserang semalam.
” Penemuan itu selepas lima jam operasi SAR hari kedua yang bermula pada pukul 8 pagi tadi.
Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Rumah Florence untuk urusan pengembumian,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Dalam kejadian kira – kira pukul 12.10 tengah hari semalam, Demit yang sedang memancing udang bersama ibunya, Ajang Mapang, 56, dan ibu saudaranya , Rinta Akanjuh,71, di situ secara tiba- tiba diserang oleh seekor buaya.
Menurut Ajang, anaknya kemudian terus diseret ke dalam sungai dan ‘hilang’ bersama buaya berkenaan.
Sementara itu, Rary turut menasihatkan penduduk yang tinggal di Kampung Telong Suai dan kawasan sekitarnya supaya menjauhkan diri daripada kawasan berkenaan.
” Jangan lakukan aktiviti memburu, memancing dan bercucuk tanam di sini kerana telah dikenal pasti sebagai habitat buaya yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian jika diserang,” katanya. -TVS