KUCHING, 17 Mac : Seorang lelaki patah paha kiri selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya terjunam ke dalam longkang pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak , pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 6.58 pagi.
Susulan itu, sekumpulan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dikejarkan ke lokasi kejadian di Jalan Raya Fi Batu 9, Jalan Kuching – Serian untuk operasi menyelamatkan mangsa.
” Setibanya di situ, bomba mendapati seorang lelaki iaitu pemandu tersepit dalam keretanya dan mengalami kecederaan,” jelas kenyataan itu.
Tambah PGO, bomba berjaya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan scoop stretcher dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut. -TVS